Friday, March 27, 2009

KEISTIMEWAAN JUMAAT


JUMAAT mempunyai banyak keistimewaan dan kemuliaannya. Jumaat penghulu segala hari ialah hari yang Allah pilih untuk menjadi hari besar dalam seminggu bagi kehidupan Muslim.

Syaikh Ibnul Qayyim dalam bukunya Zaadul Maad mencatatkan: “Hari Jumaat ialah hari yang paling komprehensif untuk beribadah. Kemuliaan hari ini bila dibandingkan dengan hari lainnya dalam seminggu, laksana kemuliaan Ramadan dibandingkan dengan bulan lainnya dalam setahun. Waktu mustajab pada Jumaat, seperti waktu mustajab pada malam lailatul qadar pada Ramadan.”

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik dan semulia-mulia hari terbit matahari padanya ialah hari Jumaat.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)

Tidak diragui lagi bahawa sebaik-baik hari bagi orang Islam adalah Jumaat. Pada Jumaat, Allah menciptakan Adam sebagai manusia pertama di muka bumi dan Allah menurunkannya ke bumi juga pada Jumaat.

Pada hari itu jugalah Allah terima taubat Adam yang melanggar larangan-Nya ketika di syurga. Adam wafat pada Jumaat.

Berdasarkan banyak keterangan hadis sahih, diyakini kiamat akan terjadi pada Jumaat. Itulah hari kita bertanggungjawab atas segala amal baik dan buruk yang selama ini kita perlihatkan atau sembunyikan ketika hidup di dunia.

Pada hari itu juga kita akan sengsara dan menyesal untuk selamanya atau sangat bahagia untuk sepanjang masa.

Selain itu, banyak lagi peristiwa penting yang berlaku pada Jumaat yang meninggalkan sejarah untuk kaum Muslimin antaranya kemenangan Nabi Muhammad SAW dalam perang Badar dan sekali gus dapat memasuki kota Makkah.

Sementara pasukan Salahuddin Al-Ayyubi beroleh kemenangan dalam pertempuran Hittin dan berjaya membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman orang Kristian. Peristiwa lain tidak kurang penting untuk diingati ialah berhasilnya Umar Al-Khattab menyelamatkan kota Palestin.

Kemuncak kepada kemuliaan, keagungan dan kebesaran Jumaat ialah apabila Allah mewajibkan solat fardu Jumaat bagi lelaki sementara hari lain mereka diwajibkan menunaikan solat Zuhur.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Solat Jumaat wajib bagi setiap Muslim, dilaksanakan secara berjemaah kecuali empat golongan iaitu hamba sahaya, orang perempuan, anak kecil dan orang yang sakit.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Al-Hakim)

Orang perempuan tidak wajib melaksanakan solat Jumaat. Bagaimanapun, jika mereka turut melaksanakan solat Jumaat, hukumnya sah dan tidak perlu mengerjakan solat fardu Zuhur lagi.

Wajib dan penting solat Jumaat dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Apabila kamu diseru untuk menunaikan ibadah solat pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu keluar dan berjalan (dan berhimpun) untuk mengingat Allah dan hendaklah kamu semua meninggalkan segala urusan perniagaan (jual beli). Yang demikian itu adalah suatu kebaikan bagi kamu jika kamu mengetahuinya.” (Surah al-Jum’ah, ayat 9)

Kita diminta membersihkan diri sebelum melangkah ke masjid, berpakaian bersih dan digalak memakai wangian. Jangan lambat ke masjid kerana dikhuatiri tidak mendapat pahala solat Jumaat. Seelok-eloknya pergi awal kerana banyak keistimewaannya bagi mereka yang datang awal ke masjid untuk solat Jumaat.

Diriwayatkan Imam Ahmad dan dihukumkan sebagai hadis hasan oleh Al-Albani, daripada Abu Ghalib, daripada Abu Umamah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Pada Jumaat, malaikat duduk di pintu masjid. Mereka membawa lembaran catatan amal dan menuliskan pahala bagi orang yang masuk masjid. Jika imam keluar maka lembaran catatan itu ditutup.”

Adalah rugi dan malang sesiapa sengaja melalaikan atau meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang uzur yang diharuskan syarak ke mereka tergolong melakukan dosa besar dan Allah membuat hati mereka tertutup, tidak mampu merasakan nikmat Islam serta merasakan lazatnya keimanan.

Diriwayatkan Imam Muslim daripada Abdullah Umar dan Abu Hurairah, bahawa kedua-duanya mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Kebinasaan terhadap kaum yang meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati mereka, kemudian menjadikan mereka orang yang lalai.” (Hadis riwayat Muslim, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh At-Tirimizi daripada Abu Ja’d Adh-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Barang siapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat kerana menganggap remeh, nescaya Allah akan mencop hatinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nisa’i dan Ibnu Majah)

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang ber maksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Solat Jumaat dua rekaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan

di dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, ter masuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus men dengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni ber salah.”

Sebelum menunaikan solat Jumaat, dianjurkan mandi ter lebih dulu sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq `alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi, tetapi mandi itu lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi).

Diharapkan apabila kita mengetahui kelebihan, kemuliaan dan keistimewaan yang ada pada hari Jumaat, maka kita hendaklah melipatgandakan amalan serta ibadah dalam usaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah di samping meraih pahala berlipat ganda nilainya pada Jumaat.

1 Comment:

  1. Anonymous said...
    Assalamualaikum. Terus terang cakap. bagus laman web nie..buleh jadi perunding motivasi dah kalau setara nie..huhu

Post a Comment



About This Blog

Photobucket

Lorem Ipsum

Sabda Nabi SAW:
"Allah menyinari cahaya seseorang yang telah mendengar kata-kataku, meninggalkan larangan dan melaksanakan perintah Rasulullah SAW sebagaimana yang didengarinya."

Sabda Nabi SAW:
"Hormatilah Ulama', kerana mereka di sisi Allah SWT adalah pilihan-pilihan Allah SWTyang diberikan kemuliaan."

Sabda Nabi SAW:
"Sesiapa melihat wajah orang berilmu dengan sekali pandang sahaja, dia suka dengan pandangan tersebut maka Allah SWT mencipta daripada pandangan tersebut satu Malaikat yang meminta ampun baginya hingga hari kiamat."

Sabda Nabi SAW:
"Sesiapa memuliakan orang berilmu maka sesungguhnya dia telah memuliakan aku, sesiapa memuliakanku maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah SWT, dan sesiapa memuliakan Allah SWT maka tempatnya adalah di Syurga."

Sabda Nabi SAW:
"Sesiapa menziarahi orang berilmu seolah-olah dia menziarahiku, sesiapa berjabat tangan dengan orang berilmu seolah-olah dia berjabat tangan denganku, sesiapa duduk bersama orang berilmu seolah-olah dia duduk bersamaku semasa di dunia, dan sesiapa yang duduk bersamaku semasa di dunia, aku memberi peluang untuk duduk bersamaku pada hari kiamat."


  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP