Pengislaman Addas
Peristiwa ini berlaku ketika mana Rasulullah saw mahu menyebarkan risalah kenabian dan Islam kepada penduduk Taif. Taif adalah suatu tempat yang dikenali pada hari ini sebagai Madinah. Tahun ke-10 Hijrah adalah tahun yang amat sedih bagi Baginda Rasulullah saw kerana pada tahun tersebut perginya 2 orang insan yang amat dikasihi oleh Baginda iaitu Abu Talib dan isterinya Khadijah. Perginya 2 orang yang dikasihi bermakna tentangan dan cubaan yang akan diterima oleh Baginda Rasul akan semakin hebat. Puak-puak Quraisy hanya menunggu masa yang sesuai untuk menyakiti Baginda Rasul saw lantaran perginya Abu Talib, orang yang kuat mempertahankan perjalanan dakwah Nabi saw.
Oleh kerana tentangan yang diterima oleh Baginda Rasul semakin hebat, maka Rasulullah menuju ke Taif dengan harapan akan mendapat sambutan yang baik dan sokongan kepada dakwahnya di kalangan Bani Thaqif. Namun mereka menolak dakwah Baginda dengan cara yang kasar. Mereka menghasut kanak-kanak supaya melontari Baginda dengan batu. Maka berdarahlah tumit kaki Baginda Rasul yang suci. Baginda telah berteduh dan berlindung di sebuah kebun, langsung berdoa kepada Allah dengan penuh khusyuk:
"Ya Allah aku mengadu kepadaMU kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamulah juga Tuhanku, Kepada siapa Kamu serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripadaMu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahanMu atau kemurkaanMU terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan denganMu".
Rasulullah pulang ke Taif dalam keadaan dakwahnya tidak mendapat sebarang sambutan daripada kaum Bani Thaqif. Yang ada hanyalah keislaman Addas, hamba kepada Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah. Addas merupakan seorang hamba yang beragama Nasrani. Kedua-dua tuannya memintanya menghidangkan setangkai anggur kepada Baginda Rasul saw ketika Baginda sedang berlindung di dalam sebuah kebun. Apabila Addas menghidangkan anggur itu kepada Rasul saw, Baginda mula memakannya seraya berkata: Bismilah (Dengan nama Allah). Ucapan Basmalah itu menarik perhatian Addas, kerana tiada siapa dikalangan kaum itu mengucapkan kalimah seperti itu. Beliau memeluk Islam setelah berdialog dengan Nabi saw.
Kefahaman dan pengajaran yang dapat diambil daripada kisah ini adalah dakwah itu mempunyai banyak uslub dan thariq, tidak statik dan tidak tertumpu pada kaedah yang sama, tetapi gambaran yang diperolehi dari sirah Nabi saw menunjukkan kepada kita bahawa di sana terdapat pelbagai bentuk dan method dalam menyampaikan dakwah kepada mad'u. Dakwah bilhal kadangkala lebih berkesan daripada dakwah dengan ucapan atau lisan, mungkin kerana melihat kepada sahsiah dan peribadi seseorang mad'u, dengan akhlak seorang muslim menunjukkan Islam adalah agama yang syumul meliputi seluruh kehidupan manusia, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya.